Berita/Media

Takaful Ikhlas diiktiraf Pengendali Terbaik 2015




28 May 2015
HARIAN METRO

Kuala Lumpur : Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS) meraih pengiktirafan Pengendali Takaful Terbaik Malaysia 2015 yang berprestij daripada Global Banking & Finance Review buat kali kedua.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar berkata, anugerah terbabit membuktikan bahawa produk Takaful IKHLAS adalah setanding dengan syarikat pengendali takaful terkemuka di Malaysia.
Katanya, sejak 13 tahun yang lalu, syarikat berjaya mengukuhkan kehadirannya dalam menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan Islam berasaskan konsep Takaful yang menekankan semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam kalangan pesertanya.
"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini dan anugerah ini dapat mengukuhkan lagi keyakinan pelanggan terhadap kami. Pada hari ini, reputasi kami di pasaran Malaysia sudah diiktiraf sebagai satu jenama dinamik dan terbaik yang dikenali ramai.
"Saya yakin anugerah ini akan memberi dorongan ke pada lebih 400 kakitangan dan 5,000 ejen kami untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan, semalam.
Global Banking & Finance Review adalah portal dalam talian yang dibaca oleh 200 negara berbeza, manakala The Global Banking and Finance Review Awards diwujudkan bagi mengiktiraf syarikat dari pelbagai saiz yang menonjol dalam bidang kepakaran dan kecemerlangan tertentu khususnya komuniti kewangan global.
Anugerah ini dikenali dalam seluruh komuniti per bankan dan kewangan global serta melambangkan inovasi, pencapaian, strategi, perubahan progresif dari inspirasi yang berlaku dalam sektor kewangan.
...........................................................................................................................................

Takaful Ikhlas Sasar Sumbangan Kasar RM1 


Bilion Bagi Tahun Kewangan 2016




29 Jun 2015
BERNAMA
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Takaful Ikhlas Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, optimis dapat mengumpul sumbangan kasar RM1 bilion pada 2016 menerusi pengenalan produk baharunya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ab Latiff Abu Bakar.
Beliau berkata produk itu menangani keperluan bagi skim perlindungan berbanding simpanan. "Insurans bukan satu kemahuan tapi keperluan. Cuma soalnya ialah kemampuan memiliki.
"Produk baharu ini, Secure Link, bermula dengan pakej minimum RM80 sebulan ke atas (tanpa maksimum)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bersempena Ramadan kepada 50 anak yatim, di sini.
Ab Latiff berkata bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, syarikat memperoleh sumbangan kasar lebih RM800 juta, didorong oleh kedua-dua produk am dan keluarga. Ditanya mengenai rancangan syarikat untuk menembusi pasaran Eropah, beliau berkata pada masa ini Takaful Ikhlas akan menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan dalam pasaran tempatan. Kumpulan itu mempunyai subsidiari, Malaysian Re (Dubai) Ltd di Dubai.
"Sama ada kami akan ke sana, Asia Pasifik atau Asia Tenggara, bergantung pada hala tuju kumpulan," katanya, menambah Takaful Ikhlas merancang untuk meneroka ke seberang laut pada 2020. Ab Latiff juga berkata syarikat berharap untuk mengurangkan campuran porfolio motor kepada 60 peratus daripada 70 peratus sekarang.
Mengenai kemungkinan disenaraikan di Bursa Malaysia, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kumpulan dan hala tuju masa depan syarikat. Kumpulan akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Ogos.

No comments:

Post a Comment